BH Online
Ringkasan Berita

6 maut tersepit kereta bertembung lori di Jalan Karak Lama

BENTONG: Enam lelaki termasuk dua remaja maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabit kemalangan dengan lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, awal pagi hari ini.
6 maut tersepit kereta bertembung lori di Jalan Karak Lama

Lori satu tan yang terbabit dalam kemalangan dengan Toyota Vios di Jalan Karak Lama menghala ke Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, awal pagi hari ini. - Foto ihsan JBPM.

BENTONG: Enam lelaki termasuk dua remaja maut selepas kereta Toyota Vios dinaiki terbabit kemalangan dengan lori satu tan di Jalan Karak Lama menghala Temerloh, berhampiran Klinik Desa Jambu Rias, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu, semua mangsa berusia antara 15 hingga 25 tahun yang menaiki Toyota Vios meninggal dunia di lokasi akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki mengalami rempuhan kuat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan jam 4.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 4.32 pagi dan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios serta sebuah lori satu tan.

"Enam mangsa lelaki yang menaiki Toyota Vios didapati tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang maut dikenali sebagai V Mugilan, 25; K Dinesvaran, 21; K Alaganathan, 20; A Kanabati Raja, 18; S K Kiisyen, 16 dan M Paranthaman, 15.

Menurutnya, pemandu lori satu tan, Muhamad Hanafi Ahmad Raju, 3), cedera dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Katanya, anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal serta mengeluarkan semua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas penyelamatan iaitu Rescue Tool dan Combi Tool.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Operasi membabitkan tujuh anggota BBP Karak dengan bantuan sembilan anggota BBP Mentakab berjaya dikawal pada jam 5.57 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi.

Video Terkini

Berita Berkaitan