GEORGETOWN: Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian penemuan mayat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh dari tingkat 68 Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat sejurus disahkan meninggal dunia.
"Lelaki itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan hampir keseluruhan anggota badannya juga mengalami kecederaan serius akibat impak jatuh dari tempat tinggi.
"Tiada sebarang unsur jenayah dikesan di dalam kejadian ini. Susulan itu satu laporan mati mengejut dibuka bagi dijalankan siasatan terhadap kes ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Rozak berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan menetap di Lebuh Macallum.
"Hasil siasatan polis di lokasi mendapati dia dipercayai terjun dari aras tinggi sebelum mayatnya ditemukan berpakaian lengkap di atas bumbung aras enam bangunan itu," katanya lagi.
Terdahulu, media melaporkan mengenai penemuan mayat mangsa kira-kira jam 4 petang.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Jamil Abdullah berkata, pihaknya dipanggil bagi melakukan tugas khas mengeluarkan mangsa dari lokasi menerusi tali dan juga menggunakan pengusung.
Katanya, ketika mayat itu ditemui pihaknya turut menjumpai tiket masuk ke taman tema dalaman (indoor theme park) manakala pergelangan tangannya juga memakai memakai pas masuk ke situ.
























