BH Online
Ringkasan Berita

Pelajar tahfiz dituduh patahkan tangan rakan laung azan sumbang

BATU PAHAT: Pelajar lelaki sebuah tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana didakwa mencederakan junior sehingga patah tangan gara-gara mengejek mangsa melaungkan azan kurang merdu.
Pelajar tahfiz dituduh patahkan tangan rakan laung azan sumbang

BATU PAHAT: Pelajar lelaki sebuah tahfiz dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana didakwa mencederakan junior sehingga patah tangan gara-gara mengejek mangsa melaungkan azan kurang merdu.

Tertuduh berusia 15 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa berusia 14 tahun di surau sebuah tahfiz di Ayer Hitam, dekat sini, 1 tengah hari, 30 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shazleen Ibrahim manakala tertuduh diwakili peguam, Zurina Sidek.

Berdasarkan laporan, pada hari kejadian, mangsa ditugaskan melaungkan azan namun tertuduh mendakwa azan berkenaan tidak merdu.

Ini menyebabkan mangsa marah lalu menampar muka tertuduh, namun tertuduh membalasnya sehingga berlaku tolak menolak.

Tertuduh kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh. Bagaimanapun, tolakan itu menyebabkan pergelangan tangan kiri mangsa patah.

Susulan kejadian itu, mangsa ditemani ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Ayer Hitam.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dan kes disebut semula pada 29 September ini untuk serahan dokumen serta laporan akhlak.

Video Terkini

Berita Berkaitan