GEORGETOWN: Seorang peniaga barangan lusuh dan kitar semula didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin lebih empat kilogram.
M Davendran mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dua kali di hadapan Majistret S Selvaranjini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Davendran didakwa mengedar heroin seberat 4,625 gram di tepi jalan sepanjang Jalan Tun Syed Barakbah, Padang Kota Lama, kira-kira jam 5 petang pada 17 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin, manakala Davendran diwakili peguam Farah Hamizah Hasan Gani.
Lau Shavin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Mahkamah menetapkan 26 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia tersebut.
























