NIBONG TEBAL: Polis menahan tiga individu warga tempatan, termasuk seorang warga emas dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM180,000 dalam operasi di Sungai Bakau di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou, berkata tiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 34 hingga 63 tahun itu dipercayai ahli sindiket pengedar dadah dan mereka ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Sungai Acheh.
"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard yang digunakan mereka membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah, antaranya Eramin 5 dianggarkan seberat 1,700 gram (g), serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) (450 g), ketamin (8 g) dan heroin seberat 1 g dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM180,000," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif amphetamine serta methamphetamine.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah itu mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(3) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. – BERNAMA




















