KUANTAN: Seorang pengurus syarikat pembinaan dan kejuruteraan elektrikal di daerah ini kerugian RM377,000 akibat kes penipuan membabitkan tawaran tender tidak wujud.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob, berkata berdasarkan laporan diterima, semalam, mangsa wanita berusia 49 tahun itu dihubungi individu menawarkan tender pembekalan papan litar elektrik pada 13 Julai lalu.
Katanya, mangsa diyakinkan bahawa syarikatnya berjaya memperoleh tender itu tetapi dikehendaki memenuhi syarat membuat bayaran untuk tujuan berkenaan.
"Percaya dengan tawaran itu, mangsa membuat empat transaksi hingga berjumlah RM377,000.
"Bagaimanapun selepas pembayaran dibuat, mangsa gagal menghubungi pihak yang menawarkan tender berkenaan, malah mendapati urusan tender yang dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud.
"Mangsa kemudian menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 untuk tindakan segera sebelum Laporan Maklumat Pertama (FIR) dibuat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pengurus terbabit mengalami kerugian berjumlah RM377,000 membabitkan wang milik syarikat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Susulan itu, katanya, orang ramai khususnya syarikat dan usahawan dinasihatkan membuat semakan terperinci terhadap mana-mana tawaran tender sebelum membuat sebarang pembayaran.
























