KUALA LUMPUR: Polis memberkas 11 suspek disyaki ahli Geng Vinod yang aktif melakukan jenayah kekerasan di Selangor sejak 2023, sekali gus percaya berjaya menyelesaikan 21 kes menerusi Op Rapido.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata semua suspek warga tempatan berusia 21 hingga 34 tahun itu ditahan dalam operasi khas pada 23 dan 24 Jun lalu.
Beliau berkata, operasi berkenaan dilancarkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Selangor bagi membanteras kumpulan jenayah terancang itu.
"Kesemua suspek kini direman mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hingga 25 Julai ini.
"Penahanan itu (dipercayai) membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelesaikan 21 kes, sekali gus melumpuhkan satu sindiket rompakan berkumpulan bersenjata yang aktif di Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumar berkata, Geng Vinod diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan mempunyai 17 ahli berusia antara 20 hingga 34 tahun yang terdiri daripada penjenayah berulang.
Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai aktif sejak 2023 dan dikaitkan kes rompakan berkumpulan, cubaan membunuh, rusuhan bersenjata, menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata serta khianat.
"Modus operandi kumpulan itu ialah melakukan samun bersenjatakan parang atau senjata tajam dengan menyasarkan premis kediaman.
"Kumpulan itu turut melakukan kesalahan serius lain bagi mendapatkan faedah material, kuasa atau pengaruh," katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditahan itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau termasuk cubaan membunuh, rompakan berkumpulan, khianat atau bencana, mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata, pecah rumah, ugutan jenayah, pemerasan dan merusuh dengan senjata.
"Mereka turut mempunyai rekod pelbagai kesalahan dadah, termasuk pengedaran dadah.
"Polis sudah mengenal pasti identiti lima lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas, dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan," katanya.
Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat (UJB), Jabatan Peguam Negara, pada 17 Julai lalu sebelum pihaknya menerima arahan supaya 11 suspek berkenaan didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
"Kesemua suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang pada jam 9.30 pagi esok.
"PDRM akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti jenayah, terutama jenayah kekerasan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara," katanya.
Beliau turut meminta masyarakat terus bekerjasama menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah.











_1784795886.jpg)












