ALOR GAJAH: Seorang pekerja kontrak warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar lelaki sebuah sekolah berasrama di daerah ini, bulan lalu.
Tertuduh, Islam Mohammad Shoriful, 44, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa Bangladesh di hadapan Hakim Kamarul Aris Kamalluddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pelbagai perbuatan amang seksual fizikal terhadap tujuh pelajar berusia antara 13 hingga 15 tahun.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 6 petang hingga 6.30 petang pada 12 Jun 2026 di kawasan bilik mandi dan tempat basuh asrama lelaki sebuah sekolah berasrama di daerah ini.
Pendakwa dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif, memohon supaya tiada sebarang jaminan diberikan terhadap tertuduh dan tertuduh turut tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian bersetuju dengan permohonan pihak Timbalan Pendakwa Raya agar tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
























