KUALA TERENGGANU: Tiga majikan dihukum denda keseluruhannya berjumlah RM35,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) tinggal di premis bawah kawalan masing-masing.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu terhadap Veeriah a/l Muthiah, 72; Amirul Azrin Zakaria, 32; dan Muhammad Hashim Kaw, 45, selepas masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh yang mempunyai kuasa dan kawalan ke atas premis masing-masing, didakwa membenarkan PATI masuk atau tinggal di premis berkenaan.
Veeriah didakwa membenarkan empat PATI membabitkan masing-masing dua warga Indonesia dan Bangladesh tinggal di rumah pekerja di Ladang Sri Alam Sdn Bhd, Kampung Gong Batu di Permaisuri, Setiu, kira-kira jam 4.30 petang 1 Julai.
Bagi kesalahan itu, Veeriah didenda RM20,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Amirul Azrin didakwa membenarkan dua PATI warga Myanmar tinggal di sebuah kilang beras dan minyak di Taman Seri Budi, Padang Midin di sini, kira-kira jam 11.50 pagi 6 Julai lalu.
Dia didenda RM10,000 atau penjara dua bulan jika gagal membayarnya atas kesalahan itu.
Muhammad Hashim pula didenda RM5,000 atau penjara sebulan jika gagal membayarnya, kerana membenarkan seorang PATI warga Myanmar tinggal di bengkel motosikal miliknya di Jalan Besar Kampung Batu 5, Dungun, sekitar jam 11.35 pagi 8 Julai lalu.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 serta boleh dihukum bawah Seksyen 55E(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau penjara hingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI yang ditemui di premis, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga tertuduh itu membayar denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Terengganu, Mohd Izhar Md Razali, manakala kesemua tertuduh tiada diwakili peguam.
Terdahulu, semua tertuduh terbabit ditahan dalam operasi berasingan dijalankan Bahagian Penguat Kuasa Imigresen Terengganu di premis masing-masing antara 1 hingga 8 Julai lalu.
























