KOTA KINABALU: Dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengarah sebuah hospital di Sabah yang tular di media sosial sejak semalam berlaku pada Oktober tahun lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata polis sudah menerima laporan berhubung dakwaan itu pada Januari lalu dan siasatan sudah dijalankan sebelum isu berkenaan tular.
"Kes ini hanya tular semalam, namun siasatan polis sudah pun dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.
Jauteh berkata, kertas siasatan sudah dibuka sebaik laporan diterima dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kes berkenaan.
Terdahulu, tular satu rakaman video Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Chin Tek Ming yang menggesa dakwaan gangguan seksual dan buli dikaitkan dengan kakitangan sebuah hospital di Kota Kinabalu disiasat secara menyeluruh serta diberikan perhatian segera oleh pihak berkuasa.




















