MIRI: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 50-an di Lapangan Terbang Miri kerana disyaki terbabit memasang peranti 'skimming' pada mesin juruwang automatik (ATM) di Brunei Darussalam.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata suspek ditahan pada 20 Julai lalu, jam 5.30 petang.
Penahanan adalah hasil kerjasama strategik serta perkongsian maklumat risikan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).
Operasi berkenaan dilaksanakan susulan maklumat daripada pihak berkuasa Brunei berhubung pembabitan suspek dalam kegiatan memasang peranti 'skimming' pada beberapa mesin ATM di negara berkenaan.
"Suspek kemudian diserahkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei pada hari sama," katanya dalam kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa meningkatkan tahap kewaspadaan ketika melakukan transaksi di mesin ATM.
"Pengguna perlu memeriksa terlebih dahulu keadaan mesin ATM bagi memastikan tiada peranti mencurigakan pada slot kemasukan kad, papan kekunci atau bahagian lain yang boleh digunakan untuk mencuri maklumat kad bank.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa melindungi nombor PIN ketika membuat transaksi serta memantau penyata akaun bank masing-masing bagi mengesan sebarang transaksi yang mencurigakan.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






