BH Online
Ringkasan Berita

DBKL roboh 61 struktur binaan haram di PPR Seri Cempaka

KUALA LUMPUR: Sejumlah 61 struktur binaan tanpa kelulusan yang digunakan bagi aktiviti perniagaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, dekat Lembah Pantai, di sini, dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi bersepadu, semalam.
DBKL roboh 61 struktur binaan haram di PPR Seri Cempaka

Operasi meroboh struktur binaan tanpa kelulusan yang digunakan bagi aktiviti perniagaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, dekat Lembah Pantai, di sini. - Foto FB DBKL

KUALA LUMPUR: Sejumlah 61 struktur binaan tanpa kelulusan yang digunakan bagi aktiviti perniagaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, dekat Lembah Pantai, di sini, dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi bersepadu, semalam.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan tindakan meroboh dan pembersihan struktur dilaksanakan selepas pemilik struktur mematuhi notis penguatkuasaan serta notis pengosongan tapak yang dikeluarkan atas kesalahan mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Struktur dirobohkan membabitkan premis perniagaan makanan, minuman, kedai runcit, stor, perkhidmatan am dan lain-lain.

"Kerja meroboh 61 struktur dan pembersihan kawasan berkenaan berjalan lancar selepas barangan dan peralatan perniagaan dipindahkan keluar oleh pemilik premis.

"Tindakan dilaksanakan termasuk pemotongan bekalan air dan elektrik mengikut proses serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," kata kenyataan itu, hari ini.

DBKL berkata, operasi semalam dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bagi tujuan pelaksanaan program pembangunan Projek Lestari Niaga.

Video Terkini

Berita Berkaitan