SUBANG JAYA: Lelaki yang diselamatkan dalam kes penculikan bagi mendapatkan wang tebusan RM7 juta, minggu lalu kini ditahan mengikut undang-undang pencegahan selepas siasatan menemukan elemen sindiket pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata tangkapan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, semalam di Selangor mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Katanya, elemen pengedaran dadah itu dikenal pasti hasil siasatan lanjut JSJ dengan bantuan JSJN Bukit Aman.
"Susulan siasatan itu, JSJN Bukit Aman membuat tangkapan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 terhadap mangsa dalam kes culik ini.
"Dengan tangkapan itu, kita percaya wujud penglibatan sindiket pengedaran dadah dalam kes penculikan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.
Sebelum ini, seorang wanita berusia 46 tahun membuat laporan pada jam 1.30 pagi, 17 Julai lalu selepas suaminya diculik dan suspek menuntut wang tebusan RM7 juta.
Mangsa diselamatkan kira-kira jam 1 pagi keesokannya di sebuah unit kediaman di kawasan i-City, Shah Alam, dekat sini, dalam tempoh kurang 48 jam selepas kejadian dilaporkan.
Dalam operasi itu, polis pada peringkat awal menahan lima lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun. Polis turut merampas pelbagai jenis dadah, telefon bimbit dan beberapa kenderaan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk mendapatkan wang tebusan, selain Akta Dadah Berbahaya 1952. Semua suspek direman selama 10 hari mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.
Mengulas lanjut, Kumar berkata pihaknya setakat ini tidak dapat mengenal pasti pekerjaan tetap mangsa berdasarkan rekod perkhidmatan atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, mangsa didapati positif dadah menerusi ujian saringan air kencing ketika tangkapan awal dibuat dan semakan rekod lampau mendapati lelaki berusia 44 tahun itu mempunyai satu kes jenayah komersial berkait kes tipu.
Bagaimanapun, katanya, motif penculikan termasuk kemungkinan berkaitan wang hasil kegiatan dadah masih dalam siasatan.
"Kita turut menyiasat dari sudut pemilikan harta mangsa dan perkara itu memerlukan sedikit masa. Siasatan kes ini masih diteruskan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Kumar berkata pihaknya menahan dua lagi lelaki berusia lingkungan 30-an yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan itu, semalam.
Katanya, seorang daripadanya adalah bekas anggota polis yang dipecat daripada perkhidmatan pada 2023 kerana kesalahan berkaitan dadah.
"Tangkapan terbaharu menjadikan keseluruhan lapan individu ditahan, termasuk tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan. Dua tangkapan terbaharu itu direman selama 10 hari untuk siasatan," katanya.
Kumar berkata, sebahagian daripada lapan suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan dadah serta jenayah kekerasan dan tiada antara mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan culik.
"Kita sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes ini dan usaha mengesan mereka sedang dijalankan. Saya percaya kita akan membuat beberapa lagi tangkapan dalam masa terdekat," katanya.
























