BH Online
Ringkasan Berita

Rompak 4 kedai serbaneka guna pisau pemotong daging, pekerja kilang dipenjara 6 tahun, dua sebatan

AYER KEROH: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan, merompak menggunakan pisau pemotong daging dan cuba merompak dalam tempoh hampir empat jam, di empat kedai serbaneka, di negeri ini minggu lalu.
Rompak 4 kedai serbaneka guna pisau pemotong daging, pekerja kilang dipenjara 6 tahun, dua sebatan

Hau Wei Quan dikawal ketat pasukan polis ketika dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka hari ini. - Foto NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.

AYER KEROH: Seorang pekerja kilang dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan, merompak menggunakan pisau pemotong daging dan cuba merompak dalam tempoh hampir empat jam, di empat kedai serbaneka, di negeri ini minggu lalu.

Prosiding kes dijalankan berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah di Mahkamah Sesyen 3, Hakim Raja Noor Adillah Raja Mahyaldin (Mahkamah Sesyen 2) dan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman (Mahkamah Majistret 2) di sini, hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Hau Wei Quan, 29, dan mensabitkannya seperti pertuduhan selain meneliti keseluruhan fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Bagi kes pertama, lelaki itu didakwa melakukan rompakan terhadap Nur Salsabillah Mohd Azam, 21, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga mangsa mengalami kerugian RM241 di kedai serbaneka 7-Eleven, Taman Seri Krubong pada 15 Julai lalu, kira-kira jam 3.30 pagi.

Di Mahkamah Sesyen 2, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama iaitu merompak dengan pisau pemotong daging dan melarikan wang tunai RM234.90 milik syarikat penama Muhammad Afiq Hakimi Suzeli, 22, di Kedai 7-Eleven, Jalan Pegaga, Taman Merdeka pada tarikh sama, kira-kira jam 2.44 pagi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, jika disabitkan boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan yang melakukan pendakwaan memohon hukuman pemenjaraan dan sebatan setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Beliau menghujahkan mahkamah perlu mengambil kira kesalahan membabitkan kekerasan kepada mangsa dan satu senjata berbahaya iaitu pisau digunakan yang boleh mencederakan mangsa selain kerugian dialami akibat perbuatan tertuduh.

Hau yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan sudah menyesal atas kesalahannya selain perlu menanggung seorang adik orang kurang upaya (OKU) dan ibu bapa yang sudah tua.

Sebelum ditangkap tertuduh bekerja di kilang besi dengan pendapatan RM1,800 sebulan dan mahu bekerja semula selepas dibebaskan.

Hakim Rohatul Akmar dan Raja Noor Adillah dalam penghakiman, masing-masing menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan berkuatkuasa dari tarikh ditangkap, 15 Julai lalu.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atas dua kesalahan cuba merompak dua wanita pekerja kedai serbaneka KK Mart di Taman Merdeka Permai dan di Bukit Beruang pada tarikh sama, masing-masing pada jam 3.10 pagi dan 6.40 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Sharda Shienha menjatuhkan hukuman penjara lima bulan dari tarikh ditangkap bagi pertuduhan pertama dan tujuh bulan penjara bagi pertuduhan kedua bermula selepas tamat menjalani hukuman bagi kesalahan pertama.

Video Terkini

Berita Berkaitan