KUALA LUMPUR: Mendaftar masuk penerbangan pada saat akhir atau ketika waktu puncak, menjadi antara taktik sindiket dadah antarabangsa melalui lapangan terbang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sindiket tetap mengambil risiko menggunakan taktik berkenaan meskipun kawalan keselamatan di lapangan terbang semakin dipertingkatkan.
Beliau berkata, keuntungan besar mendorong sindiket terus mencuba pelbagai kaedah bagi mengelak sistem pengesanan pihak berkuasa.
"Mereka terus mencuba dan mengharapkan ada kealpaan atau kegagalan sistem pengesanan pihak berkuasa lapangan terbang.
"Antara taktik ialah mendaftar masuk pada saat akhir atau ketika waktu puncak," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hussein berkata, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjadi antara laluan utama pilihan sindiket antarabangsa berikutan kedudukan strategik Malaysia sebagai hab penerbangan serantau.
Beliau berkata, JSJN bersama agensi penguatkuasaan lain sentiasa memperkukuhkan kawalan, risikan dan pemeriksaan keselamatan bagi mengesan serta menggagalkan cubaan penyeludupan dadah.
Katanya, selain taktik di lapangan terbang, sindiket menggunakan pelbagai cara untuk memperdaya individu supaya menjadi keldai dadah.
"Antara umpan digunakan ialah ganjaran kewangan tinggi, pekerjaan di luar negara dan pakej percutian percuma.
"Sindiket turut menyasarkan individu yang berdepan tekanan kewangan atau kurang kesedaran mengenai risiko jenayah ini," katanya.
Beliau berkata, ada mangsa yang diperdaya membawa barangan tertentu tanpa mengetahui kandungan sebenar.
"Dadah turut disorok secara kreatif di dalam bagasi, pakaian dan barangan peribadi, selain menggunakan kaedah 'body packing' bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
"Sehubungan itu, kita nasihatkan semua rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang mencurigakan.
"Jangan sesekali bersetuju membawa barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya, khususnya ketika berada di lapangan terbang.
"Pembabitan dalam aktiviti ini boleh membawa hukuman sangat berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati di sesetengah negara," katanya.
Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras jenayah dadah.
"JSJN akan terus mempergiatkan usaha menangani pembabitan rakyat Malaysia yang terjebak dengan sindiket penyeludupan dadah menggunakan keldai dadah," katanya.
Pada 4 Julai lalu, seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dari Sarawak ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Macau selepas disyaki cuba menyeludup hampir tiga kilogram (kg) heroin bernilai kira-kira RM2.09 juta yang disorokkan di dalam tin dengan label pes tuna bersama biskut di dalam bagasi.
Siasatan polis Macau mendapati suspek dipercayai dijanjikan bayaran kira-kira RM3,000 untuk menghantar dadah berkenaan.
Pada 18 Julai lalu, seorang lagi rakyat Malaysia berusia 23 tahun dari Selangor ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Sri Lanka.
Suspek ditahan bersama 1.816kg kokain bernilai kira-kira 90.8 juta rupee Sri Lanka (RM1.1 juta) yang disorokkan di dalam tin coklat di dalam beg galasnya.
JSJN percaya lelaki itu turut mempunyai kaitan dengan sindiket dadah antarabangsa dan dipercayai bertindak sebagai keldai dadah.











_1784705961.jpg)












