KUALA LUMPUR: Inisiatif mewajibkan setiap ketua polis balai menangkap sekurang-kurangnya seorang penagih setiap hari adalah langkah proaktif yang wajar dipuji, namun bukan kayu ukur sebenar dalam usaha memerangi dadah.
Setiausaha Agung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Hasnul Fairuz Hushin Amri, berkata kejayaan sebenar wajar diukur apabila keseluruhan ekosistem dadah bermula daripada paling tinggi sehingga ke pengguna akhir dapat dikawal.
"Saya melihat pendekatan Ketua Polis Kelantan yang mewajibkan setiap Ketua Polis Balai membuat sekurang-kurangnya satu tangkapan berkaitan dadah setiap hari sebagai satu langkah yang proaktif untuk memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan akauntabiliti di peringkat akar umbi.
"Namun, kejayaan memerangi dadah tidak boleh diukur berdasarkan jumlah tangkapan semata-mata kerana kejayaan sebenar ialah apabila rantaian bekalan dadah berjaya diputuskan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Hasnul Fairuz berkata, apabila kadar penagihan menurun dan sindiket dadah berjaya dilumpuhkan itulah penanda aras sebenar kejayaan dalam memerangi isu ketagihan bahan.
Beliau berkata, usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama mantap daripada setiap agensi berkaitan termasuk masyarakat itu sendiri kerana tanggungjawab itu tidak boleh dipikul oleh pihak berkuasa sahaja.
"Usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan pembangunan satu ekosistem jaringan yang kukuh dan mampan. Tiada satu agensi mampu menangani isu ini secara bersendirian.
"Ia memerlukan kerjasama strategik antara polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pihak Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan, institusi agama, pemimpin komuniti dan media.
"Setiap pihak mempunyai peranan tersendiri dalam aspek pencegahan, pendidikan, penguatkuasaan, rawatan, pemulihan dan reintegrasi bekas penagih ke dalam masyarakat.
"PEMADAM percaya bahawa pendekatan terbaik ialah 'whole-of-government' dan 'whole-of-society', iaitu seluruh agensi kerajaan termasuk seluruh lapisan masyarakat bergerak sebagai satu pasukan," katanya.
Hasnul Fairuz berkata, apabila sebuah ekosistem yang mantap dan menyeluruh sudah tersedia barulah usaha pencegahan, intervensi termasuk pemulihan dapat dipercepatkan.
Katanya, sokongan yang lebih menyeluruh turut dapat disediakan bukan sahaja kepada penagih sedang berusaha mahu pulih, malah ahli keluarga mereka yang terkesan akibat ketagihan itu juga menerima manfaat sekiranya ekosistem ini direalisasikan.
"Hanya dengan pencegahan berkesan, penguatkuasaan konsisten dan jaringan kerjasama yang kukuh barulah usaha mewujudkan Malaysia yang lebih selamat, sihat dan bebas daripada ancaman penyalahgunaan dadah menjadi kenyataan.
"Akhirnya, matlamat kita bukan sekadar meningkatkan statistik tangkapan tetapi membina sebuah masyarakat yang berdaya tahan terhadap ancaman dadah itu sendiri," katanya.

















