JOHOR BAHRU: Seramai 108 warga asing yang dipercayai bekerja di premis perniagaan sekitar Taman Sri Bahagia, di sini, ditahan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), malam tadi.
Operasi bermula jam 8 malam hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan memberi tumpuan kepada premis perniagaan yang dipercayai dikendalikan warga asing.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi itu bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen serta membanteras penyalahgunaan pas lawatan, pas kerja dan kemudahan imigresen.
"Pemeriksaan menyeluruh dijalankan di setiap premis yang dikenal pasti, menyemak dokumen perjalanan, pas dan permit individu yang berada di lokasi bagi memastikan mereka ada dan menjalankan aktiviti di Malaysia mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
"Hasil pemeriksaan, 108 warga asing berusia antara 18 hingga 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen," katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.
Mereka yang ditahan membabitkan 101 lelaki merangkumi 32 warga Bangladesh, Myanmar (22), Pakistan (16), Nepal (15), Indonesia (12), India (4), selain tujuh wanita, iaitu tiga warga Myanmar, Indonesia (2) dan Nepal (2).
Katanya, semua individu itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kemudian ditahan di Depoh Imigresen Setia Tropika untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Selain itu, Mohd Rusdi berkata, dua Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.
























