RANTAU PANJANG: Hasrat dua beradik untuk pulang ke Johor terbantut selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (AM) kerana memasuki negara ini menggunakan pangkalan haram, di sini petang semalam.
Dua beradik berkenaan, lelaki berusia 19 tahun dan remaja perempuan 14 tahun ditahan jam 6.45 petang selepas menyeberangi Sungai Golok dari Thailand ke pangkalan haram Kedap, di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata ketika pemantauan dilakukan, pihaknya mengesan kedua-dua suspek menaiki perahu menghampiri pangkalan haram Kedap.
"Susulan itu kita menahan kedua-dua suspek. Lelaki berusia 19 tahun adalah warga Thailand dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, manakala adiknya warga tempatan beralamat di Johor.
"Hasil soal siasat, mereka menaiki perahu dengan bayaran RM30 dan suspek lelaki mendakwa masuk ke Malaysia kerana mahu menemani adiknya pulang ke Johor.
"Remaja perempuan itu pula mendakwa memasuki Thailand pada Jumaat lalu atas urusan keluarga menggunakan pangkalan haram," katanya.
Kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
























