BH Online
Ringkasan Berita

Kereta bawa 6,000 pil Yaba terbabas langgar lori ketika cuba lolos sekatan polis

GUA MUSANG: Polis menahan dua lelaki warga Myanmar dan merampas 6,000 biji pil Yaba dalam milikan mereka yang gagal melarikan diri daripada sekatan pemeriksaan di Kilometer 9 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini.
Kereta bawa 6,000 pil Yaba terbabas langgar lori ketika cuba lolos sekatan polis

Sebahagian pil Yaba dirampas polis daripada 2 lelaki Myanmar ditahan di Gua Musang, semalam.- Foto PDRM

GUA MUSANG: Polis menahan dua lelaki warga Myanmar dan merampas 6,000 biji pil Yaba dalam milikan mereka yang gagal melarikan diri daripada sekatan pemeriksaan di Kilometer 9 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi semalam, polis turut merampas sebuah Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan kunci kereta dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata dalam siasatan awal, kedua-dua suspek masing-masing berusia 32 dan 36 tahun mengaku memiliki dadah terbabit dan dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.

Katanya, kenderaan dipandu suspek membuat pusingan U sebaik menghampiri lokasi pemeriksaan lalu dikejar polis.

"Kereta suspek kemudian terbabas dan melanggar sebuah lori di kawasan Kampung Kuala Lah berhampiran Simpang Tiga Jerek-Meranto. Hasil tindakan pantas polis, kedua-dua suspek berjaya diberkas.

"Pemeriksaan lanjut menemui satu beg silang yang mengandungi bungkusan plastik berisi 6,000 pil disyaki dadah jenis Yaba," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, selain Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, manakala ujian saringan awal urin mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.

"Seorang daripada mereka turut mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 15(1)(A) ADB 1952. Sasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran dan individu terbabit," tambahnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan