PUTRAJAYA: Polis mengesahkan dakwaan seorang wanita selepas disyaki dicabul pemandu e-hailing ketika dalam perjalanan ke Terminal KLIA 2, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 Julai lalu yang didakwa berlaku di hadapan sebuah hotel di kawasan Sepang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 20-an menempah perkhidmatan e-hailing untuk ke Terminal KLIA 2.
"Dalam perjalanan, suspek dipercayai meminta mangsa duduk di tempat duduk hadapan sebelum bertindak menyentuh paha kanan mangsa sebanyak dua kali tanpa kerelaannya," katanya melalui dalam satu kenyataan.
Norhizam berkata, mangsa kemudian bertindak keluar dari kenderaan dan suspek yang juga lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an telah dikenal pasti dan keterangannya sudah dirakam bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.
"Polis telah melengkapkan siasatan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya," katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Pada masa sama, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

















