KUALA NERUS: Seorang pendaki disahkan meninggal dunia selepas ditemui berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di puncak Bukit Maras, dekat sini, hari ini.
Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, PBK I Muhammad Al Fadil Mat Amin, berkata mangsa dikenali sebagai Nazli A Hamid, 53, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.
Katanya, sepasukan enam anggota dari BBP Kuala Nerus digerakkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden sekitar jam 6.48 petang itu.
Beliau berkata, pasukan kemudian menjalankan operasi membawa turun mayat mangsa ke kaki bukit.
"Anggota bomba meletakkan mangsa di atas pengusung sebelum membawanya turun ke kaki bukit dengan menggunakan kenderaan utiliti," katanya.
Setiba di kaki bukit, beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata lelaki itu dipercayai meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
























