BH Online
Ringkasan Berita

Polis sahkan ancaman bom di Hospital Columbia Asia Puchong palsu

SERDANG: Polis mengesahkan tiada sebarang bahan letupan atau objek yang mencurigakan ditemui susulan dakwaan ancaman bom di sebuah hospital swasta di Bandar Puteri, Puchong dekat sini, hari ini.
Polis sahkan ancaman bom di Hospital Columbia Asia Puchong palsu

SERDANG: Polis mengesahkan tiada sebarang bahan letupan atau objek yang mencurigakan ditemui susulan dakwaan ancaman bom di sebuah hospital swasta di Bandar Puteri, Puchong dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata terdahulu Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan daripada seorang lelaki sekitar jam 2.54 petang memaklumkan mengenai penerimaan maklumat dakwaan ancaman bom di hospital berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam dan luar bangunan Hospital Columbia Asia oleh Unit Pemusnah Bom dan Pasukan Anjing Pengesan (K9) bagaimanapun tidak menemui sebarang bahan letupan atau objek mencurigakan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut hadir di tempat kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut.

Susulan itu, Muhamad Farid berkata, siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menjejaki pihak yang bertanggungjawab mencetuskan panik berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, selain hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan Seksyen 506," katanya.

Justeru, beliau berkata, pihak polis menasihati orang awam supaya bertenang dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden berkenaan.

"IPD Serdang memohon kerjasama orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyebabkan kegusaran awam.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, boleh hubungi IPD Serdang melalui talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan