KUCHING: Pasukan bomba berdepan cabaran apabila terpaksa meminjam perahu penduduk kampung untuk ke lokasi kebakaran sebuah kediaman di Empangan Hidroelektrik Batang Ai di Lubok Antu, Sri Aman, hari ini.
Kebakaran itu memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal, namun kesemua empat penghuninya dilaporkan terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari berhubung kejadian itu.
Susulan itu, beliau berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong digerakkan ke lokasi terletak kira-kira 72 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 1.48 tengah hari.
"Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menggunakan perahu orang awam untuk ke lokasi kebakaran itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, rumah itu didiami sepasang suami isteri bersama dua anak membabitkan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 1.49 tengah hari sejurus selepas pasukan bomba tiba di lokasi.
Setakat jam 2.25 petang, kerja-kerja pemadaman masih dijalan menggunakan sumber air daripada pili bomba.
"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut oleh Bahagian Forensik Kebakaran," katanya.
























