KOTA BHARU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas yang hilang diteruskan dengan pencarian di Sungai Wakaf Stan merangkumi radius 6.6 kilometer (km) dari lokasi dilihat kali terakhir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Tumboh, Johari Ahmad, berkata SAR hari ini dimulakan jam 9.30 pagi tadi dengan pencarian dibuat di permukaan sungai.
"Empat bot termasuk milik polis digunakan dalam SAR hari ini membabitkan pencarian di permukaan sungai mencecah 6.6km.
"Setakat ini masih tiada sebarang petunjuk dijumpai dan kami tidak berdepan apa-apa halangan sepanjang SAR dijalankan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Johari berkata, selain SAR di sungai, pencarian turut dibuat di darat oleh pihak berkuasa termasuk penduduk kampung.
Katanya lagi, walaupun tiada petunjuk ditemukan, operasi akan diteruskan bergantung kepada perkembangan semasa.
Media sebelum ini melaporkan Rosnani Mahmood, 62, hilang sejak 10 Julai lalu dan motosikal miliknya ditemui tidak jauh dari sungai berkenaan.
Difahamkan wanita warga emas itu dilihat kali terakhir petang Jumaat (10 Julai) oleh seorang pemancing tidak jauh dari sungai terbabit sebelum tidak lama selepas itu, kelibatnya sudah tiada dan tinggal hanyalah motosikal jenis Modenas Kriss miliknya.
Ahli keluarganya memaklumkan wanita yang dipanggil Mok Ni itu mengalami gangguan mistik sejak lebih 10 tahun dan semakin kerap diganggu sebulan kebelakangan ini malah mendakwa kehilangannya mempunyai kaitan dengan perkara itu.
























