KEMAMAN: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah saudaranya di Kampung Baru Neram 1, Cheneh dekat sini, Ahad lalu.
Abdullah Besar, 70, kali terakhir dilihat ketika keluar untuk bersarapan di sebuah kedai di kampung itu kira-kira jam 7 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, ”‹Che Ahmad Taqiyuddin Che Yaacob, berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak polis kira-kira jam 6.40 petang kelmarin berhubung kehilangan warga emas itu.
Susulan itu, beliau berkata, tujuh anggota bersama sebuah jentera diarahkan ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi pencarian dengan sebuah Pos Kawalan Bomba (PKB) dibuka di lokasi.
"Tindakan awal pencarian telah dilakukan di sekitar kawasan mangsa disyaki hilang, iaitu ladang kelapa sawit.
"Ketika kali terakhir dilihat, mangsa berbaju belang berwarna biru putih, berseluar slack hitam dan memakai dua bentuk cincin," katanya.
Che Ahmad Taqiyuddin berkata, operasi pencarian hari ini menggunakan teknik Hasty Search.
"Radius pencarian turut diperluaskan merangkumi kawasan lima kilometer dari rumah mangsa.
"Pasukan penyelamat turut menumpukan pencarian di kawasan kebun-kebun sawit berhampiran, dengan mendapat kerjasama bersepadu daripada polis dan penduduk kampung," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan mangsa, diminta menghubungi waris, Fazani, melalui talian 016-3174541 atau mana-mana balai polis berhampiran.
























