PASIR PUTEH: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memandang serius isu keselamatan pelajar khususnya di kawasan sekolah termasuk kes gurauan melampau yang dikategorikan sebagai bentuk buli.
Pengarahnya, Siti Norina Muhamad, berkata meskipun tiada kes buli serius dilaporkan di negeri ini namun pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya guru-guru bagi memantau aktiviti (buli).
Katanya, gurauan melampau dikira sebagai bentuk buli apabila membabitkan kecederaan sehingga mengalami luka dan menjadi serius.
"Selain itu, isu keselamatan internet juga merisaukan, kami tidak tahu apa yang mereka layari dan hadapi.
"Perkara ini juga mendatangkan ancaman, mereka (pelajar) ada komuniti internet mereka sendiri, mereka perlu diberikan kesedaran, bukan hanya ada buli fizikal tetapi mental," katanya ketika ditemui dalam Program Kempen Keselamatan Murid-murid Sekolah Menengah Daerah Pasir Puteh bersama Hibiscus Petroleum 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengurus Keselamatan dan Kesejahteraan Pekerja HSSE Hibiscus Malaysia, Ir Mohd Azwani Abdul Rani.
Dalam program itu seramai 500 pelajar tingkatan tiga dan empat di sekolah menengah dalam daerah Pasir Puteh mengikuti pelbagai kempen keselamatan daripada tujuh agensi penyelamat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan banyak lagi.
Dalam perkembangan sama, Norina berkata, JPN terus memperkasa peranan kaunselor di sekolah bagi membantu pelajar dari sudut sokongan kesihatan mental.
Beliau berkata, setiap sekolah menempatkan satu hingga dua kaunselor bagi murid bawah 500 orang dan bertambah hingga tiga kaunselor bagi sekolah yang kapasiti pelajar melebihi 1,000 orang.
"Setiap laporan perlu dibuat intervensi, proses saringan nasihat kepada pelajar yang bermasalah," katanya.
























