BH Online
Ringkasan Berita

Rayuan terhadap pembebasan Papagomo diputuskan 31 Julai

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yang merayu terhadap pembebasan Papagomo daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut dengan mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan negara Barat, dua tahun lalu, menegaskan pertuduhan ke atas blogger itu adalah tidak cacat.
Rayuan terhadap pembebasan Papagomo diputuskan 31 Julai

(Gambar fail) Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan yang merayu terhadap pembebasan Papagomo daripada pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut dengan mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan negara Barat, dua tahun lalu, menegaskan pertuduhan ke atas blogger itu adalah tidak cacat.

Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris, dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen daripada pertuduhan itu pada 3 September tahun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, ketika merayu terhadap pembebasan Papagomo, berhujah pertuduhan itu tidak cacat walaupun saksi pertama pendakwaan telah menarik balik laporan polis terhadapnya.

Mohamad Mustaffa berkata, mahkamah tidak boleh mengetepikan kuasa Peguam Negara bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah, yang memutuskan untuk meneruskan pendakwaan ke atas Papagomo selaku responden.

Beliau yang mengendalikan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan, turut menegaskan pihaknya telah membuktikan Papagomo menyebut kata-kata menghasut, melalui keterangan saksi pendakwaan.

Katanya, hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memberi penekanan terhadap penarikan balik laporan polis oleh saksi pertama pendakwaan yang juga pengadu dalam kes itu.

Beliau berkata, keterangan pengadu, Hisham Shaharudin, tidak pernah dipadam atau diketepikan melalui prosiding mencabar kredibiliti saksi.

"Pengadu menarik balik laporan polisnya selepas selesai memberikan keterangan di mahkamah.

"Adakah ini bermakna kes pendakwaan secara automatik gagal serta wajar diberikan pelepasan dan pembebasan?" katanya.

Justeru, Mohamad Mustaffa berhujah kes prima facie berjaya dibuktikan dalam kes itu, dan memohon mahkamah mengarahkan responden untuk membela diri.

Sementara itu peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, berhujah pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen bahawa kenyataan anak guamnya adalah hasutan bawah undang-undang.

Peguam itu menegaskan Mahkamah Sesyen telah membuat keputusan betul berdasarkan keterangan saksi serta peruntukan undang-undang semasa yang tidak mewajarkan suatu campur tangan daripada mahkamah.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor, menetapkan 31 Julai ini untuk keputusan.

Pada 8 Januari 2024, Papagomo mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan sebagai pro kepada Israel dan Barat, melalui Facebook.

Beliau didakwa menghasut dalam Facebook 'Halid Hamidi (Halid Mat Kool)' dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini, kira-kira jam 1 tengah hari 8 November 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda hingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Video Terkini

Berita Berkaitan