BH Online
Ringkasan Berita

Bunga ganja lebih RM19 juta dirampas, 6 warga asing antara 7 individu ditahan

SHAH ALAM: Sebanyak 247.8 kilogram dadah jenis bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM19.82 juta dirampas Polis Selangor menerusi enam siri tangkapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 hingga 17 Julai lalu.
Bunga ganja lebih RM19 juta dirampas, 6 warga asing antara 7 individu ditahan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar (tengah) menunjukkan rampasan bunga ganja bernilai RM19.82 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar

SHAH ALAM: Sebanyak 247.8 kilogram dadah jenis bunga ganja yang dianggarkan bernilai RM19.82 juta dirampas Polis Selangor menerusi enam siri tangkapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara 11 hingga 17 Julai lalu.

Dalam siri tangkapan dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA dan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad itu, tujuh individu termasuk enam warga asing ditahan dipercayai keldai dadah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata kes pertama membabitkan penahanan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun di ruang menunggu pelepasan KLIA pada 11 Julai lalu.

Katanya, pemeriksaan ke atas dua bagasi dipercayai milik wanita itu menemukan 60 bungkusan ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 36 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.88 juta.

"Kes kedua membabitkan rampasan 80 bungkus ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 82.7 kilogram dengan anggaran nilai RM6.62 juta selepas pemeriksaan dilakukan terhadap empat bagasi milik dua lelaki warga asing berusia 34 dan 48 tahun, pada 13 Julai," katanya pada pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Shazeli berkata, pemeriksaan pada 14 Julai pula menemukan 60 bungkusan ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 31.2 kilogram dan dianggarkan bernilai RM2.5 juta dalam dua bagasi milik seorang lelaki warga asing berusia 25 tahun.

Katanya, pada 17 Julai, polis merampas 60 bungkusan ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 31.4 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2.51 juta menerusi pemeriksaan terhadap dua bagasi milik seorang lelaki warga asing berusia 55 tahun.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek warga asing positif dadah jenis THC. Semakan juga mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau di negara ini," katanya.

Shazeli berkata, enam suspek warga asing dikesan memasuki Malaysia sejak awal bulan dan ada yang masuk sehari sebelum tangkapan dilakukan dengan menggunakan pas lawatan.

Beliau berkata bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk dibawa ke negara Eropah dan suspek dibayar mengikut mata wang negara mereka.

"Bagi suspek warga tempatan, dia menerima upah RM6,000 untuk satu 'trip' penghantaran.

"Kesemua suspek direman antara tujuh, 12 dan 14 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan