KANGAR: Seorang bekas tentera didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas lima pertuduhan memiliki senjata api, senjata tiruan dan ratusan butir peluru hidup tanpa kebenaran sah, awal bulan ini.
Tertuduh, Suhaimi Che Din, 49, didakwa dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan satu pertuduhan di Mahkamah Majistret, yang kesemuanya dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama bagi kes di Mahkamah Sesyen, tertuduh didakwa memiliki selaras senapang jenis CZ 457 Premium .22R berserta satu kelopak mengandungi dua butir peluru kaliber .22R.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki empat laras senapang angin iaitu jenis Umarex Gauntlet 2, Model X-1, Greyhound T-Rex Bullpup, dan Sharp Tiger tanpa kebenaran sah.
Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki 21 butir peluru 12 Bore (jenis 12 Bore Buckshot) dan 300 butir peluru .22 Rimfire (jenis .22RF Long Rifle).
Kedua-dua pertuduhan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan keempat, dia didakwa memiliki empat laras senapang angin tiruan membabitkan senapang angin jenis Greyhound model AP900, dua senapang angin buatan sendiri berkaliber .22 (5.6mm) dan senapang angin buatan sendiri bertulis 'Spark'.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi empat pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di sebuah kebun di Kampung Wang Pisang berhampiran Taman Beseri Jaya, Beseri, kira-kira jam 12.45 tengah malam pada 5 Julai lalu.
Di Mahkamah Majistret, tertuduh mengaku tidak bersalah memiliki amunisi merangkumi dua kotak Eley Tenex .22 Rimfire Long Rifle (50 butir peluru), sekotak Eley Tenex .22 Rimfire Long Rifle (48 butir peluru) dan sekotak SME Ordnance Sdn Bhd 9mm Ball (39 butir peluru).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Aras 3, Pangsapuri Terinai, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi pada tarikh yang sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Semua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alia Suzila Chek Pi, manakala tertuduh diwakili peguam Zuhair Mohd Zakuan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
























