bhnews@bh.com.my
SHAH ALAM : Seorang penjenayah berputih mata apabila cubaannya untuk melarikan wang tunai dari sebuah van keselamatan tidak berhasil dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, semalam.
Ia susulan tindakan pantas pengawal van keselamatan bertugas yang bertindak meletakkan wang berkenaan ke dalam van yang kemudian ditutup selepas menyedari kehadiran suspek.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian itu berlaku antara jam 5.30 hingga 6 petang ketika pemindahan wang dari bank ke van dilakukan.
"Pengawal keselamatan bertugas dihampiri seorang lelaki yang memakai jaket serta bertopi keledar muka penuh (full face) dan mengacukan objek dipercayai pistol jenis revolver.
"Namun pihak keselamatan yang bertugas mula menyedari keberadaan suspek tersebut telah bertindak pantas dengan meletakkan beg yang mengandungi duit daripada bank komersial tersebut ke dalam van keselamatan dan ditutup pintu van tersebut.
"Justeru pada peringkat ini suspect tidak berjaya mendapatkan sebarang wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM82,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shazeli berkata, suspek berkenaan bagaimanapun merampas sepucuk senjata api milik pengawal keselamatan bertugas dan bertindak melarikan diri dengan sebuah motosikal.
Katanya, pihak polis sedang menjalanakan pengesanan awal suspek yang terlibat serta percaya suspek bertindak sendirian ketika kejadian.
"Setakat ini, siasatan memperlihatkan suspek bertindak sendirian dan polis sedang mengumpul rakaman kamera litar tertutup (cctv) dari bank, kedai berdekatan serta kamera papan pemuka kenderaan.
"Alhamdulillah pihak polis berjaya mendapatkan rakaman yang boleh membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.
"PDRM Selangor memohon bantuan daripada orang awam atau masyarakat sekiranya mempunyai sebarang maklumat-maklumat yang boleh membantu siasatan kes ini untuk tampil berhubung dengan pegawai penyiasat ataupun mana-mana balai polis berhampiran untuk berkongsi maklumat," katanya.
Ditanya adakah Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan untuk mengesan suspek yang masih bebas, Shazeli berkata ia adalah prosedur standard operasi (SOP) jika berlaku kes yang menarik perhatian serta serius.
Jelasnya, polis melaksanakan beberapa sekatan yang difikirkan boleh membantu dalam usaha mengesan suspek dan dilaksanakan mengikut keperluan.
Semalam, tular di media sosial rakaman yang memaparkan tindakan seorang lelaki berpakaian serba hitam mengacukan objek dipercayai pistol terhadap seorang pengawal van keselamatan.
























