KULIM: Bangunan asrama lelaki Sekolah Menengah Agama Tarbiah Diniah, Jalan Pegawai, di sini musnah dalam kebakaran membabitkan tingkat atas bangunan dua tingkat itu, awal pagi tadi.
Dalam kejadian itu, 101 pelajar lelaki berjaya menyelamatkan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Abdul Mois Ahmad Mansur, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.47 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Kulim dan dibantu pasukan dari BBP Kulim Hi-Tech tiba di lokasi tidak lama kemudian.
"Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lunas dan Kulim.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan talian terus ke balai memaklumkan terdapat kebakaran sekolah.
"Berikutan itu, dua pasukan iaitu dari BBP Kulim dan Kulim Hi-Tech dihantar ke lokasi kejadian untuk melakukan penyelamatan dan memadam kebakaran, " katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Mois berkata, setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan sebuah bangunan asrama lelaki dua tingkat kelas dan memusnahkan kira-kira 65 peratus daripada keseluruhan struktur tingkat atas bangunan.
Beliau berkata, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa apabila kesemua pelajar lelaki di asrama terbabit berjaya menyelamatkan diri.
"Selain itu, kerja-kerja pemadamam dilakukan menggunakan sumber air yang diperoleh dari tangki PBS.
"Operasi kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.09 pagi tadi dan kerja-kerja 'overhaul' dilakukan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang, " katanya.
Abdul Mois berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.
Difahamkan, pelajar lelaki yang terbabit dalam kejadian itu membabitkan pelajar tingkatan Dua, Tiga, Empat dan Enam.
























