GUA MUSANG: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaikinya ditemui terbalik di Sungai Galas di Kampung Batu 6, di sini, petang ini.
Dalam kejadian terbabit Mohd Ilham Che Mat Satar, 27, dikatakan tidak dapat dihubungi selepas botnya dikesan terbalik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhamad Azrul Izzham Zulkifli, berkata pihaknya menerima makluman tentang kejadian terbabit pada jam 2.16 petang
Beliau berkata, sehingga kini operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan pihak bomba dengan kerjasama penduduk kampung.
"Pihak kami tiba di lokasi pada jam 3.05 petang apabila dimaklumkan terdapat seorang lelaki dewasa tidak dapat dihubungi, difahamkan aktiviti terakhirnya menaiki bot dan didapati bot yang dinaiki terbalik dan mangsa hilang di Sungai Galas.
"Sehingga kini operasi SAR masih diteruskan melalui kaedah pencarian di permukaan (Surface Water Rescue). Sebelum diteruskan dengan memohon bantuan dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Anjing Pengesan K9" katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
























