SANDAKAN: Dua kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas mandi dalam kolam terbiar, di Jalan Sungai Manila, dekat sini, kira-kira jam 4 petang tadi.
Mangsa dikenali sebagai Mohd Ikmal, 9, dan seorang lagi berusia 11 tahun yang belum diperoleh identitinya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata sebaik bomba menerima panggilan, lima anggota digerakkan ke lokasi yang terletak 19 kilometer (km) dari balai untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 4.38 petang, kedua-dua mangsa sudah ditemui oleh orang awam.
"Pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi kejadian mengesahkan kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia.
"Pasukan bomba bertindak mengangkat dan membawa mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini.
Jimmy berkata, operasi ditamatkan pada jam 7.08 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
























