BH Online
Ringkasan Berita

Penguatkuasaan lebih agresif, fokus 'hotspot' tangani kes seludup minyak masak paket

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih agresif dalam menangani kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran termasuk minyak masak paket.
Penguatkuasaan lebih agresif, fokus 'hotspot' tangani kes seludup minyak masak paket

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf. Foto Nik Abdullah Nik Omar/ NSTP

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan lebih agresif dalam menangani kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran termasuk minyak masak paket.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf, berkata penguatkuasaan itu akan memberi penekanan dengan kawalan berterusan di kawasan 'hotspot' yang dikenal pasti.

"Tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara konsisten di samping usaha pencegahan dan advokasi kepada peruncit dan orang ramai.

"Pendekatan ini bukan sahaja bersifat statik, sebaliknya sentiasa diperkasa dan disesuaikan dengan perubahan semasa melalui penerapan taktik serta teknik operasi yang lebih dinamik, bersepadu dan berkesan.

"Kita memberi amaran kepada mana-mana syarikat pembungkusan semula atau pemborong yang cuba bersekongkol dengan penyeludup, lesen mereka akan ditarik dan ditamatkan, selain berdepan tindakan undang-undang," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, KPDN Kelantan mematahkan cubaan dua lelaki cuba menyeludup 17.6 tan minyak masak dengan membawa lori kargo ke pangkalan haram, selepas kenderaan itu ditahan pihak berkuasa di Kampung Telaga Bata, Tumpat, malam kelmarin.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Aswadi Jaafar, dilaporkan berkata rampasan itu dilakukan hasil risikan dan pemantauan sempena Op Tiris 4.0 (Bersepadu) jam 10.45 malam.

Mengulas lanjut Hanif Yusabra berkata, pihaknya juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam usaha menangani ketirisan barangan bersubsidi ke negara jiran.

"Kita cuba menambah baik kawalan dan kaedah bagi menangani ketirisan barangan bersubsidi termasuk penggunaan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).

"Dalam usaha mengekang ketirisan barang subsidi, kita juga pastikan bekalan terbabit mencukupi di pasaran dan setakat ini bekalan minyak masak paket mencukupi.

"Orang ramai yang mempunyai masalah bekalan minyak masak paket boleh memaklumkan kepada pihak kami untuk tindakan segera," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan