KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini diberitahu terdapat dua transaksi kemasukan wang berjumlah keseluruhan RM8 juta daripada akaun Fashion Valet Sdn Bhd ke dalam akaun bank milik syarikat 30 Maple Sdn Bhd, lapan tahun lalu.
”‹Pengurus Khidmat Pelanggan CIMB Bank Cawangan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Azizan Hassan, 45, mengesahkan semakan terhadap penyata akaun CIMB Bank milik syarikat 30 Maple mendapati kemasukan wang masing-masing berjumlah RM5 juta dan RM3 juta daripada akaun Public Bank milik FashionValet dibuat secara dalam talian pada 21 Ogos 2018.
”‹
Saksi pendakwaan pertama itu memperincikan, transaksi pertama membabitkan kemasukan wang berjumlah RM5 juta dengan deskripsi menyatakan ia adalah wang pendahuluan daripada FashionValet kepada 30 Maple, manakala baki akaun sebelum kemasukan itu adalah RM2,678,853.48.
”‹"Pada hari sama (21 Ogos), telah berlaku satu lagi transaksi kemasukan wang sebanyak RM3 juta dengan deskripsi yang sama. Saya juga sahkan baki sebelum kemasukan wang berjumlah RM3 juta adalah RM7,678,853.48," katanya.
”‹
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzarudin Shah Anuar, yang didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah FashionValet Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta kepda syarikat 30 Maple tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat FashionValet.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara di sini pada 21 Ogos 2018, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Mereka juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan niat bersama secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik FashionValet iaitu dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta, di lokasi dan tarikh sama.
Pasangan suami isteri itu dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebat dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
”‹
Menjelaskan lanjut mengenai butiran akaun 30 Maple Sdn Bhd, Azizan mengesahkan akaun semasa berkenaan didaftarkan secara rasmi pada 11 Jun 2018 dengan menamakan Vivy dan Fadzarudin Shah yang juga pengarah syarikat terbabit sebagai penandatangan yang dibenarkan.
Beliau turut mengesahkan semakan pada penyata bank 30 Maple bagi September 2018 menunjukkan terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun syarikat itu berjumlah RM10,213,537.28 pada 3 September 2018.
”‹Selain itu, terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM5 juta pada tarikh sama dan transaksi pengeluaran wang berjumlah RM5 juta pada 4 September 2018 dengan deskripsi dividen interim atas nama Fadzarudin Shah.
”‹
Azizan berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry dan Haresh Prakash Somiah.
Terdahulu, peguam Datuk M Athimulan yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon kepada Hakim Rosli Ahmad untuk menyoal balas saksi terbabit pada Jumaat ini berikutan beliau masih dalam cuti sakit bermula hari ini hingga Rabu dan mahkamah membenarkan permohonan berkenaan.
























