JASIN: Seorang warga emas maut selepas lori muatan kelapa sawit dipandunya terbabit kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Batu Gajah, Sungai Rambai, di sini, hari ini.
Mangsa lelaki berusia 68 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) selepas ditemui tersepit di bahagian pemandu lori.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.50 pagi.
Beliau berkata seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau dikejarkan ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
"Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi pada jam 11.58 pagi, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan kelapa sawit.
"PKO mendapati warga emas berkenaan ditemui tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Hafidzatullah berkata, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada ambulans KKM untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.19 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada kemerbahayaan lain di lokasi kejadian," katanya.
























