PASIR MAS: Seorang mekanik dihukum penjara 20 tahun dan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merogol dan merompak remaja perempuan berusia 15 tahun di Tumpat pada Jun lalu.
Tertuduh, Muhammad Faryzuan Aiman Mat Yatim, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun dan mencederakan mangsa di kawasan semak di Kampung Mesra Palekbang, Tumpat jam 7.40 pagi pada 17 Jun lalu
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) Kanun yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merompak telefon bimbit jenis Vivo Y19 milik mangsa yang sama dan ketika rompakan berkenaan, tertuduh bersenjatakan sebatang kayu di lokasi yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai'lah Harizan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aisyha Nai'lah memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira faktor kepentingan awam supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam bagi mengelak kejadian sama berulang.
Katanya, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan kejam kerana merogol dan merompak sehingga menimbulkan ketakutan serta trauma kepada mangsa.
"Kecederaan dialami mangsa juga serius dan parah selain mengalami trauma teruk. Mangsa tiada hubungan langsung dengan tertuduh selain berpakaian sopan Muslimah ketika beriadah pada hari kejadian," katanya.
Muhammad Faryzuan Aiman pula memohon hukuman minimum dikenakan selain memaklumkan mempunyai isteri dan seorang anak berusia tiga tahun.
Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan bagi pertuduhan merogol, manakala hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan bagi pertuduhan merompak.
Hukuman penjara itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 7 Julai lalu
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh penjara selain berada dalam pengawasan polis selama tiga tahun selepas tamat hukuman.
Media sebelum ini melaporkan, aktiviti seorang remaja perempuan berjogging bertukar tragedi apabila disamun dan dirogol oleh seorang lelaki tidak dikenali di Palekbang di sini.
Mangsa berusia 15 tahun ditemui dalam keadaan cedera berhampiran kawasan semak oleh orang awam jam 11 pagi sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
























