PASIR MAS: Seorang buruh didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mendedahkan anak perempuannya berusia setahun lapan bulan dengan dadah sehingga positif dadah di Rantau Panjang pada 5 April lalu.
Tertuduh, Mohamad Shahrul Hisham Lailatulazhma, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendedahkan mangsa yang juga anak perempuannya berusia satu tahun lapan bulan kepada dadah berbahaya sehingga menyebabkan badan mangsa mengandungi dadah berbahaya jenis benzodiazepines dan methamphetamine.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Rantau Mas, Rantau Panjang jam 10.30 malam pada 4 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama yang memperuntukan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya serta bon berkelakukan baik.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyha Nai'lah Harizan dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siti Aisyha Nai'lah memohon hukuman setimpal dikenakan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan mangsa yang juga anak tertuduh masih kecil dan sebagai bapa sepatutnya melindungi anak, namun tertuduh gagal berbuat demikian sehingga mendedahkan anak kepada dadah.
Mohamad Shahrul Hisham pula memohon hukuman minima dikenakan kerana sudah insaf selain perlu menyara keluarga memandangkan isteri tidak bekerja selain keadaan anak perempuannya sudah dalam keadaan baik.
Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman denda RM3,000 dan sekiranya gagal bayar akan dipenjara selama tiga bulan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh bon berkelakukan baik RM2,000 dengan seorang penjamin selama satu tahun selain diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 36 jam.
























