SEREMBAN: Seorang pengasuh wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang kanak-kanak berusia empat tahun di bawah jagaannnya, di Bandar Sri Sendayan di sini, pada 14 Mei lalu.
Zaiton Md Lajis, 60, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak berumur empat tahun didakwa telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Jalan Nusari Bayu 4, Taman Nusari Bayu.
Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan setiap sebulan dan tidak mengacau ganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bergantung kepada upah mengasuh kanak-kanak, malah suaminya juga tidak bekerja.
Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 berserta tiga syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.
Sebutan semula bagi serahan dokumen dan lantikan peguam ditetapkan pada 21 Ogos depan.
Pada 22 Mei lalu media melaporkan satu video tular menyayat hati memaparkan seorang kanak-kanak diletakkan di luar bahagian belakang rumah dan dikatakan dipukul seorang wanita dipercayai pengasuhnya.
























