BH Online
Ringkasan Berita

Gas metana 100 peratus LEL dikesan di tapak pembinaan

MIRI: Kebocoran gas yang dikesan keluar daripada sebuah lubang cerucuk di tapak pembinaan Jalan Perdana, Tudan, di sini, semalam disahkan sebagai gas asli metana (CH4), sekali gus mencetuskan operasi pemantauan dan penilaian teknikal oleh beberapa agensi keselamatan.
Gas metana 100 peratus LEL dikesan di tapak pembinaan

Pasukan HAZMAT JBPM menjalankan pemantauan dan ujian pengesanan gas di lokasi bagi memastikan tahap keselamatan kawasan serta menilai sebarang risiko kepada orang awam. - Foto ihsan Bomba

MIRI: Kebocoran gas yang dikesan keluar daripada sebuah lubang cerucuk di tapak pembinaan Jalan Perdana, Tudan, di sini, semalam disahkan sebagai gas asli metana (CH4), sekali gus mencetuskan operasi pemantauan dan penilaian teknikal oleh beberapa agensi keselamatan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, PBT II Henry Jugah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 pagi sebelum sebuah jentera bersama anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan awal serta membuat bacaan parameter gas.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kerana tiada kebakaran atau letupan berlaku, selain memastikan tahap keselamatan di tapak pembinaan sentiasa terkawal.

"Pasukan Petros tiba di lokasi pada jam 9.40 pagi untuk menjalankan ujian bagi mengenal pasti jenis gas yang dikesan keluar dari lubang cerucuk berkenaan.

"Hasil ujian mengesahkan gas itu ialah gas asli metana (CH4) dengan bacaan mencapai 100 peratus Had Letupan Bawah (Lower Explosive Limit - LEL) tepat di punca kebocoran," katanya dalam kenyataan.

Henry berkata, susulan keputusan itu, operasi diteruskan pada sebelah petang dengan penglibatan Pasukan Bahan Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bagi menjalankan penilaian teknikal yang lebih terperinci.

Katanya, pasukan Hazmat tiba di lokasi pada jam 6.01 petang sebelum memulakan pengukuran pada jam 6.45 petang.

"Hasil bacaan pertama menunjukkan paras LEL kekal 100 peratus tepat di lubang cerucuk, manakala bacaan 32.5 peratus direkodkan pada radius satu meter dari sumber gas.

"Pemantauan kedua yang dijalankan kira-kira setengah jam kemudian turut merekodkan bacaan 100 peratus di lubang cerucuk, manakala bacaan 32.5 peratus dikesan pada radius tiga meter.

"Keputusan itu menunjukkan gas masih tertumpu di kawasan punca kebocoran dan pemantauan rapi perlu diteruskan," katanya.

Beliau berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak bomba mengarahkan pemaju menutup sementara lubang cerucuk berkenaan sehingga Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia menjalankan siasatan serta penilaian lanjut.

Menurutnya, operasi itu turut membabitkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Petros bagi memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan selamat.

"Operasi Hazmat ditamatkan pada jam 7.30 malam selepas semua tindakan keselamatan selesai dilaksanakan dan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Sepanjang operasi dijalankan, tiada mangsa dilaporkan cedera, manakala kawasan sekitar kekal selamat hasil pemantauan berterusan oleh semua agensi terbabit," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan