BH Online
Ringkasan Berita

Dua maut, seorang kritikal dalam nahas tiga motosikal

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut, manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di Kuala Nerus, kira-kira jam 6.30 petang semalam.
Dua maut, seorang kritikal dalam nahas tiga motosikal

Lokasi dua remaja maut, manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di Kuala Nerus, kira-kira jam 6.30 petang semalam. - Foto ihsan polis

KUALA TERENGGANU: Dua remaja maut, manakala seorang lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Kampung Pecah Rotan, Batu Rakit, di Kuala Nerus, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kemalangan itu membabitkan motosikal jenis SYM BX110, Yamaha Ego Avantiz dan Honda EX5.

Beliau berkata, penunggang SYM BX110, Muhamad Hazim Mohd Zawawi, 17, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, dalam perjalanan dari Kampung Pecah Rotan menuju ke rumahnya di Kampung Mengabang Kapal.

Katanya, penunggang Yamaha Ego Avantiz, Muhammad Rifqi Rayyan Abdul Rahim, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit, pula dalam perjalanan dari Batu Rakit menghala ke Kampung Pecah Rotan.

"Seorang lagi penunggang, Muhammad Harris Iman Fadillah, 15, menunggang Honda EX5 dari Kampung Pecah Rotan menuju ke rumahnya di Kampung Kubur Timah.

"Siasatan awal mendapati Honda EX5 itu dilanggar dari belakang oleh motosikal SYM BX110 sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Yamaha Ego Avantiz dari arah hadapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azli berkata, kemalangan itu menyebabkan Muhamad Hazim dan Muhammad Rifqi Rayyan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, Muhammad Harris Iman pula mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forubatan Forensik Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) untuk bedah siasat dan tindakan lanjut," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan