SUNGAI BESAR: Laluan 'hotspot' kegiatan samseng jalanan di Jalan Teluk Intan-Klang, dekat Panchang Bedena, di sini digempur, dengan 52 saman dikeluarkan manakala sembilan motosikal disita.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, tindakan diambil hasil operasi bermula jam 11 malam semalam sehingga 5 pagi tadi.
Beliau berkata, polis memeriksa 87 individu dan 60 kenderaan, dengan 52 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
"Antaranya seperti ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan dan lampu 'obligatory' tidak berfungsi.
"Kesalahan lain dikesan adalah menunggang di bawah umur, tiada perlindungan insurans dan lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh," katanya ketika dihubungi.
Md Yusof berkata, selain saman polis menyita sembilan motosikal mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Kenderaan itu disita atas kesalahan ubah suai ekstrem dan struktur kenderaan tidak selamat. Model diambil tindakan adalah Yamaha Y15ZR, Yamaha LC 135, Kawasaki RR dan Yamaha 125ZR," katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada samseng jalanan supaya tidak melakukan aktiviti yang melanggar peraturan jalan raya.
"Tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa tanpa sebarang kompromi," katanya.
























