MIRI: Gas metana (CH4) dikesan keluar daripada cerucuk silinder di tapak pembinaan Jalan Perdana, Tudan, di sini, pagi tadi menyebabkan semua kerja pembinaan di kawasan berkenaan dihentikan sebagai langkah keselamatan sehingga pemeriksaan selesai dijalankan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata Pasukan Bahan Berbahaya (HAZMAT) Bintulu digerakkan ke lokasi bagi pemeriksaan lanjut kandungan gas berkenaan.
"Hasil pemeriksaan awal oleh kontraktor PETROS mendapati kandungan gas yang dikesan ialah Lower Explosive Limit (LEL) metana (CH4) pada bacaan 100 peratus.
"Susulan penemuan itu, Pasukan HAZMAT Bintulu digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut untuk mengenal pasti sama ada terdapat kandungan gas lain sebelum tindakan susulan diambil," katanya.
JBPM Sarawak menerima panggilan pada jam 7.45 pagi sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) digerakkan ke lokasi.
Penilaian awal dijalankan sebelum mewujudkan perimeter keselamatan di sekitar cerucuk bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pekerja dan orang awam.
"Kontraktor PETROS turut hadir ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan terperinci, manakala semua kerja pembinaan dihentikan sementara sepanjang proses pemantauan dijalankan," katanya.
Operasi berjaya dikawal pada jam 9.55 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.04 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
























