BH Online
Ringkasan Berita

Juruteknik rugi RM150,000 ditipu 'Maira'

KUALA TERENGGANU: Umpan kononnya boleh meraih pulangan awal menjerat seorang juruelektrik hingga kerugian RM150,000 selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud.
Juruteknik rugi RM150,000 ditipu 'Maira'

Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU: Umpan kononnya boleh meraih pulangan awal menjerat seorang juruelektrik hingga kerugian RM150,000 selepas menyertai skim pelaburan tidak wujud.

Lelaki berusia 48 tahun itu pada mulanya menerima mesej menerusi WhatsApp pada 2 Julai lalu daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai 'Maira'.

Suspek kemudian menawarkan mangsa menyertai satu skim pelaburan yang dikenali sebagai 'Centralize International' yang kononnya boleh memberi keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata bagi meyakinkan mangsa, suspek mengarahkan juruteknik itu membuat beberapa pelaburan awal.

"Melalui lima pelaburan awal yang dibuat, mangsa menerima pulangan keuntungan seperti yang dijanjikan. Ia menyebabkan mangsa percaya bahawa skim pelaburan berkenaan adalah sah dan benar-benar memberikan keuntungan.

"Suspek kemudian menawarkan pakej pelaburan yang lebih tinggi bernilai RM100,000 dengan janji bonus keuntungan RM70,000. Bermula 8 hingga 16 Julai lalu, mangsa membuat empat transaksi keseluruhan RM150,000 ke beberapa akaun bank yang diarahkan suspek.

"Bagaimanapun, selepas semua pembayaran dibuat, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan. Suspek sebaliknya mendakwa akaun pelaburan mangsa sudah dibekukan.

"Mangsa diminta membuat bayaran tambahan bagi membolehkan wang pelaburan itu dikeluarkan. Juruteknik itu kemudian menyedari diperdaya dan gagal memperoleh semula wang yang dipindahkan ke beberapa akaun sebelum itu," katanya.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 5.05 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Juruteknik itu mendakwa mengalami kerugian keseluruhan RM150,000 dengan sumber sumber kewangan digunakannya untuk pelaburan itu adalah wang simpanan sendiri.

Video Terkini

Berita Berkaitan