ALOR GAJAH: Seorang penunggang motosikal ditemukan maut di tepi jalan di Jalan Air Tanai, dekat Air Paabas, di sini awal pagi tadi.
Abd Rahim Yusuf, 38, dipercayai terbabit kemalangan kira-kira jam 5 pagi sebelum keadaannya disedari orang awam sekitar dua jam kemudian.
Mangsa dari Kampung Air Tanai dipercayai keluar dari rumah untuk bertemu rakan sebelum kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Kampung Air Tanai menuju Jalan Air Paabas.
Motosikal ditunggang dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah terutama pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
"Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat," katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
























