BH Online
Ringkasan Berita

Enam ditahan, mangsa culik RM7 juta diselamatkan dalam tempoh 48 jam

KUALA LUMPUR: Enam individu ditahan tidak sampai 48 jam selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.
Enam ditahan, mangsa culik RM7 juta diselamatkan dalam tempoh 48 jam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Enam individu ditahan tidak sampai 48 jam selepas menculik seorang lelaki dan meminta wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata polis menerima laporan berhubung penculikan itu 1.30 pagi semalam daripada isteri mangsa.

Beliau berkata bertindak di atas maklumat, anggota dan pegawai daripada Cawangan Khas Bukit Aman dan JSJ Selangor menjalankan operasi sekitar Selangor dan berjaya menyelamatkan mangsa awal pagi ini.

"”‹Satu operasi dilancarkan dan pada 1 pagi hari ini pasukan serbuan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah unit kediaman di kawasan sekitar i-City, Shah Alam, Selangor.

"Menerusi operasi sama, polis menahan enam individu, terdiri daripada lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 hingga 46 tahun bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kumar berkata, pasukan serbuan turut menemukan dan merampas pelbagai jenis dadah, sejumlah telefon bimbit dan beberapa buah kenderaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu menculik untuk wang tebusan, dan jika disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan penjara minimum 30 tahun dan boleh sehingga 40 tahun termasuk sebatan.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 turut dijalankan ke atas semua individu yang ditangkap.

"Permohonan reman terhadap kesemua tangkapan dibenarkan selama 10 hari di bawah Seksyen 12 Akta Penculikan 1961 bermula hari ini.

"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain, motif kejadian serta rangkaian jenayah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan