GEORGETOWN: "Doa saya sudah dimakbulkan walaupun ketika kami 'bertemu', dia sudah tidak bernyawa".
Demikian luahan rasa lega Salmah Shamsudin, 72, kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menuntut jenazah anaknya Shahir Zainul, 46.
Allahyarham yang juga bapa tunggal itu gagal dikesan sejak 10 Jun lalu selepas keluar dari rumah di Bayan Baru dengan menunggang motosikal dan kemudian dilaporkan sebagai orang hilang.
Hampir dua minggu kemudian, Unit Komunikasi Korporat HPP mengeluarkan kenyataan media memohon bantuan orang ramai mengesan waris kepada mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang dimasukkan ke hospital itu.
Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut jam 5.28 petang, pada 11 Jun. Salmah yang hadir membuat pengecaman malam tadi kemudian mengesahkan mayat adalah anaknya.
"Lega kerana sudah tahu keberadaannya. Allah SWT sudah tentukan ajalnya begitu," kata Salmah sambil memaklumkan dia reda dengan kejadian itu dan akan menjaga dua anak lelaki Shahir yang masing-masing berusia 13 dan 15 tahun.

Wanita itu menyifatkannya arwah sebagai bapa yang baik dan sentiasa memenuhi keinginan anaknya.
"Ketika ada wang, dia akan beli kelengkapan dan penuhi keinginan anaknya. Dua minggu sebelum kejadian, Shahir beli barangan dapur guna seluruh wang bantuan MyKasih miliknya.
"Dia juga sangat baik terhadap saya. Sikap baik di penghujung nyawanya jadi kenangan antara kami. Ibu mana yang tidak sedih, namun saya sudah reda dengan ketentuan-Nya," katanya.
Mengenai proses pengecaman yang dilakukan malam tadi, Salmah berkata, tahi lalat di tepi alis mata kiri jenazah mengesahkan bahawa mayat tidak dituntut itu adalah anaknya.
"Jenazahnya sudah dimandi dan dikafankan selepas proses bedah siasat. Saya tidak lihat jenazahnya dengan terperinci, cuma lihat wajah. Wajah Shahir tidak berubah, cuma mempunyai sedikit kesan luka di pipi.
"Sebelum itu saya dapat panggilan telefon daripada kenalan meminta kami ke hospital dan saya sangka mungkin Shahir sakit (ditempatkan di wad), namun tak sangka pula akan 'jemput' jenazahnya," katanya lagi.
Salmah berkata, dua cucunya masih bersedih, terutama anak bongsu Shahir yang rapat dengan bapanya.
"Semalam, dia cakap rasa semua ini macam mimpi dan tiba-tiba dapat tahu bapanya sudah tiada. Selepas itu mereka kerap menangis, pagi tadi menangis juga kerana biasanya, arwah selalu bergurau dengan mereka waktu pagi.
"Jenazah Shahir dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Gedung hari ini selepas selesai semua urusan tuntutan jenazah," katanya.
Media sebelum ini melaporkan Shahir gagal pulang ke rumah di Bayan Baru selepas keluar pada jam 5 pagi menaiki motosikal.
Laporan kehilangannya dibuat dua hari kemudian oleh Salmah sebelum motosikal dan topi keledar milik mangsa ditemukan di tepi jalan.
Operasi mencari dan menyelamat kemudian dilancarkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), namun operasi ditamatkan selepas tiada petunjuk baharu ditemukan.
























