BH Online
Ringkasan Berita

Terkilan tak sempat selamatkan kakak tetapi berjaya selamatkan 2 pengunjung hampir lemas

ALOR SETAR: “Saya terkilan tak sempat selamatkan kakak walaupun arwah sempat pegang saya tetapi disebabkan arus deras, saya turut lemas tetapi berjaya menyelamatkan diri.
Terkilan tak sempat selamatkan kakak tetapi berjaya selamatkan 2 pengunjung hampir lemas

Nur Afizul Sukri, 21, menunjukkan gambar kenangan dia bersama kakak sulungnya, Nur Atikah, 28, yang ditemukan lemas bersama sepupu dan seorang lagi pengunjung di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim. - Foto NSTP

ALOR SETAR: "Saya terkilan tak sempat selamatkan kakak walaupun arwah sempat pegang saya tetapi disebabkan arus deras, saya turut lemas tetapi berjaya menyelamatkan diri.

"Masa tu, badan saya terhempas ke batu dan dah telan air sungai serta dihempap pokok, " kata Nur Afizul Sukri, 21.

Nur Afizul adalah adik keempat kepada Nur Atikah, 28, yang lemas bersama sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3, dan seorang lagi mangsa dari keluarga lain, Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12, ketika mandi di pusat peranginan Sungai Sedim, di Kulim, semalam.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan dia kehilangan kakak sulung dan sepupu yang juga anak kepada bapa saudaranya.

"Kami pergi berkelah di Sungai Sedim kira-kira 15 orang termasuk ibu bapa serta adik beradik yang lain.

"Saya sampai lewat sedikit kerana saya datang dari Pulau Pinang manakala keluarga yang lain sampai pada jam 11.42 pagi semalam.

"Kami sempat makan bersama dan bakar ikan di tepi sungai untuk sambutan hari lahir anak saudara saya, (Nur Atiya Sofiya Shazwan, 7,) dan ketika itu kakak sangat seronok sebelum kami turun mandi, " katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, awal pagi tadi.

Menurut Nur Afizul, dia kemudian naik semula ke tebing dengan menaiki motosikal naik ke atas untuk mencari tempat air dalam kerana tempat keluarganya mandi agak cetek.

Katanya, tidak lama kemudian dia terdengar bunyi kelam kabut dan jeritan selain nampak ramai pengunjung cuba menyelamatkan diri.

"Saya terus turun cari kakak dan ketika itulah dia pegang saya tetapi disebabkan arus deras saya turut lemas dan badan saya terhempas ke batu sebelum kakak terlepas serta hilang dihanyutkan arus deras.

"Saya cuba cari kakak semula namun ternampak dua mangsa perempuan yang disangkakan salah seorangnya adalah kakak dan cuba menyelamatkan mereka.

"Saya sempat memberitahu bapa remaja perempuan itu yang saya dah selamatkan anaknya tetapi gagal selamatkan kakak, " katanya.

Nur Afizul berkata, tidak lama kemudian, nampak kakaknya sudah dibawa ke tebing oleh orang awam dan dia cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) kepadanya sambil memanggil kakaknya berulang kali.

Katanya, dia nampak mulut kakaknya berbuih dan tidak memberi tindak balas walaupun sudah beberapa kali melakukan CPR.

"Saya syak kakak saya terhempas ke batu kerana kepalanya berdarah.

"Begitu juga keadaan Muhammad Aariz yang ketika itu sudah kaku dan kedua-duanya tidak lama kemudian saya dimaklumkan mereka sudah meninggal dunia, " katanya yang juga anak keempat dari sembilan beradik.

Menurutnya, kesemua mereka menetap di daerah ini dan kakaknya pula berniaga keropok lekor di kawasan Mergong.

Katanya, malam sebelum kejadian, mereka sempat bermalam di rumah neneknya di Kampung Tualang, Jitra dan masing-masing seronok untuk berkelah.

Media sebelum ini melaporkan, tiga maut selepas dihanyutkan arus deras ketika kepala air melanda Sungai Sedim, di sini, semalam.

Kejadian berlaku di pusat peranginan Sungai Sedim, di sini dengan tiga mangsa yang maut itu dikatakan ditemui terapung di aliran sungai di pertengahan bukit.

Video Terkini

Berita Berkaitan