GEORGETOWN: Tanda tanya seorang ibu mengenai kehilangan anaknya selepas keluar dari rumah di Bayan Baru sejak lebih sebulan lalu terjawab selepas mayat tidak dituntut di Hospital Pulau Pinang (HPP) dikenal pasti malam tadi, sebagai anaknya.
Salmah Shamsudin, 72, berkata, pengecaman itu dilakukan di Jabatan Perubatan Forensik HPP sebelum mengesahkan mayat berkenaan ialah anaknya Shahir Zainul, 46, yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu.
"Saya dan dua cucu ke hospital malam tadi bagi membuat pengecaman. Memang itu anak saya," katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kehilangan Shahir yang tidak pulang selepas keluar dari rumah jam 5 pagi dengan menaiki motosikal.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bersama PDRM semalam, di kawasan hutan berhampiran Lebuh Bukit Jambul berpandukan kepada penemuan motosikal dan topi keledar milik mangsa di tepi jalan.
Operasi itu kemudian ditamatkan sepas pasukan penyelamat tidak menemukan sebarang petunjuk.
Sementara itu pada 21 Jun lalu, Unit Komunikasi Korporat HPP mengeluarkan kenyataan media memohon bantuan orang ramai mengesan waris kepada mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang dimasukkan ke hospital itu.
Menurut kenyataan itu, lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut jam 5.28 petang, pada 11 Jun.
























