KULIM: Fenomena kepala air di Sungai Sedim yang meragut tiga nyawa hari ini berlaku ketika cuaca cerah, menyebabkan ramai pengunjung sedang mandi-manda tidak sedar kehadirannya.
Perkara itu dikongsi penduduk, Abd Padhil Ghani, 64, namun mengakui hujan lebat berlaku sebelum itu kira-kira jam 8.45 pagi, namun berhenti tidak lama kemudian dan guruh kuat disertai hujan kembali jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, kejadian kepala air berlaku sekitar jam 2 petang waktu solat Jumaat dan ketika itu keadaan cuaca cerah dan ramai pelancong sedang mandi manda.
"Mereka (mangsa) mandi kat bahagian atas tempat yang hampir dengan bukit dan mungkin tak perasan (paras) air sungai naik.
"Kami dapat maklumat mengenai arus deras daripada pengusaha calet berhampiran melalui kumpulan WhatsApp, sebelum dimaklumkan ada mangsa lemas," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sedim, hari ini.
Dalam kejadian hari ini, tiga maut selepas dihanyutkan arus deras iaitu Nur Atikah Abdullah, 28 dan dua kanak-kanak iaitu Muhammad Aariz Daniel Md Radzi dan Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, masing-masing berusia tiga dan 12 tahun.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati air ketika ini masih deras malam berikutan hujan lebat walaupun sudah hampir lima jam tragedi kepala air melanda.
Menurut Abd Padhil kejadian hari ini berlaku kira-kira 400 meter dari rumahnya dan dia tidak menyangka ia meragut tiga nyawa.
Katanya, bahagian atas cerah ketika kejadian dan mungkin hujan di atas bukit sehingga menyebabkan kejadian kepala air berlaku.
"Ada rakan saya nampak seorang mangsa dihanyutkan arus deras, tapi tak sempat selamatkannya kerana bahaya," katanya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, semua tiga mayat mangsa lemas dihantar ke Hospital Kulim untuk tindakan lanjut sebelum ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.
























